Total Pageviews
Tuesday, 3 January 2012
Ibu: Tuduhan Nur Amalina liar hanya fitnah
JOHOR BAHRU - Hati ibu mana yang tidak terkilan jika anak yang ditatang bagai minyak yang penuh tujuh tahun yang lalu, kini ditohmah dengan pelbagai tuduhan kononnya liar dan tidak berakhlak.
Apa lagi Nur Amalina Che Bakri sebagai idola pada suatu ketika pernah membanggakan bukan sahaja ibunya, Sabariah Hassan, 52, malahan juga negara sebagai Pelajar Terbaik SPM 2004.
Ketika itu ramai ibu bapa mahu anak mereka menjadikan Nur Amalina sebagai idola.
Namun kini, apabila laman Facebook peribadinya dicerobohi, nasib Nur Amalina sudah jauh berbeza.
Dia tidak lagi disanjung seperti dahulu, malah ada juga yang menuduh pencatat sejarah dengan keputusan SPM 17A1 itu sebagai seorang anak gadis yang berubah liar kerana mengalami kejutan budaya.
Ini berikutan gambar peribadinya bersama rakan-rakan yang dirakam dalam keadaan dia berpakaian yang boleh disifatkan sebagai seksi, tersebar di Internet.
“Tidak! Anak saya bukan anak gadis yang liar. Saya tahu dia lebih daripada orang lain. Bukan saja kerana dia anak saya, malah kami berhubung hampir setiap malam. Malah saya juga sudah 13 kali ke sana (United Kingdom), sejak dia menuntut di sana,” kata Sabariah kepada Sinar Harian.
Menurutnya, tuduhan kononnya Nur Amalina yang kini berusia 23 tahun tewas dengan kejutan budaya hidup di negara Barat hingga kini tidak lagi bertudung, juga tidak benar.
“Anak saya memang tidak bertudung. Orang hanya tengok gambar dia semasa dia bersekolah menengah. Waktu itu dia memang bertudung ke sekolah,” katanya.
Nur Amalina kini sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam dua bidang iaitu jurusan perubatan dan sains farmakologi di University of Edinburgh, Scotland bawah tajaan Bank Negara Malaysia.
“Saya bukan semata-mata nak membela anak saya. Sebagai ibu, saya juga tentu tak akan terima jika berlaku sesuatu yang tidak baik kepada anak saya. Namun saya tahu dia macam mana. Gambar yang disebar itu, saya sendiri yang rakam sewaktu kami bercuti bersama rakan-rakan anak saya di Paris tiga tahun lalu. Malah seluar yang dia pakai itu, saya sendiri yang beli,” kata Penolong Kanan I Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya, di sini.
Sabariah berkata, tuduhan konon Nur Amalina sudah berubah hingga mewarnakan rambut, gemar bersosial malah menjalani kehidupan yang liar hanya fitnah pihak tertentu yang sengaja mahu mencemarkan nama baik anaknya.
“Pelajaran anak saya tidak terjejas pun. Dia kini dalam proses menerbitkan buku yang akan digunakan oleh pelajar perubatan, pensyarah dan pengamal perubatan yang dihasilkannya dengan bimbingan profesor di sana.
“Empat kajiannya telah diterbitkan sebagai jurnal dan dia akan menjalani praktikal di Oxford bermula November ini,” katanya.
Ditanya sama ada anaknya tahu mengenai gelombang fitnah itu yang mula membadai laman maya sejak beberapa hari lalu, Sabariah berkata, Nur Amalina yang memaklumkan kepadanya akan hal itu.
“Dia beritahu saya malam Isnin lalu, ketika kami berhubung menerusi Skype. Ina (Amalina) kata dia terima 800 permohonan rakan baru Facebook dari Malaysia. Rupa-rupanya yang ramai itu kerana ada isu gambar dia. Tetapi dia ketawa saja,” katanya.
Sabariah yakin, anaknya cukup kuat untuk menangani hal itu.
“Saya sendiri harap pengajiannya tidak terjejas. Saya pernah menitis air mata sewaktu mengunjunginya di sana apabila melihat dia tekun ulang kaji pelajaran hingga jam 3 pagi di perpustakaan universiti dengan hanya ditemani pengawal keselamatan. Katanya, itu kehidupan yang dia lalui hampir setiap hari,” katanya.
Kata Sabariah, kali terakhir mereka bertemu, 10 Disember lalu ketika dia ke sana untuk meraikan hari kelahiran Nur Amalina.
Gadis itu dijadual akan menamatkan pengajiannya dalam bidang perubatan Mei tahun depan.
“Kepada pihak yang sewenang-wenang melempar dan menyebar fitnah terhadap anak saya, saya harap mereka boleh fikir dan timbang, bagaimana jika gambar peribadi mereka sendiri, atau anggota keluarga mereka diceroboh, disebar dan difitnah yang bukan-bukan? Saya harap mereka dapat fikir. Itulah perasaan saya sekarang, sangat terkilan,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment