Total Pageviews

Tuesday 3 January 2012

Mahasiswi dipecat bertekad terus menetap di asrama

Seorang daripada pelajar yang disingkirkan daripada kolej kediaman Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, beliau akan terus menetap di asrama berkenaan sehingga notis rasmi diberikan.
Siti Nurul Piteriah Abdul Halim (kiri), yang menyertai demonstrasi mahasiswa di luar UPSI di Tanjung Malim pada 1 Jan, berkata setakat ini beliau hanya diberikan notis lisan daripada rakan-rakan kolej, yang memetik pesanan "dari pihak atasan".

"Saya masih di kolej.

"Selagi tidak ada notis (rasmi), saya akan tetap tinggal di sana. Itu adalah hak saya," kata pelajar diploma kesusasteraan Melayu hari itu.

Menurut Siti Nurul, beliau dimaklumkan untuk mengosongkan asrama kediamnya berkuat kuasa serta-merta, jam 9.30 malam, selepas dia dibebaskan pada sebelah petang hari demonstrasi berkenaan.

Katanya, selain dirinya, beliau juga difahamkan seorang lagi pelajar yang turut diarahkan meninggalkan asrama kediaman mereka adalah pelajar diploma Alif Ashraf.
Siti Nurul berkata demikian kepada pemberita di luar sidang akhbar oleh pemimpin-pemimpin pelajar di luar ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, semalam.

Pada sidang akhbar berkenaan Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia, Ahmad Syukri Ab Razab juga menuntut supaya UPSI membenarkan semula kedua-dua pelajar berkenaan kembali menginap di kolej kediaman masing-masing.

"Tarik balik segera perintah itu, atau hadapi tekanan yang lebih kuat daripada pelajar," kata Ahmad Syukri memberi amaran.

Di samping itu, beliau juga mengutuk polis kerana menafikan bahawa pelajar diserang sebelum sebarang siasatan dibuat, dan juga dakwaan bahawa pemimpin pelajar Muhammad Safwan Anang dipaksa menandatangani dokumen yang menyatakan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah akibat terjatuh.
Pada perhimpunan pro-kebebasan akademik di UPSI itu, kira-kira 20 aktivis mahasiswa ditahan polis.Selain menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, hampir seratus mahasiswa itu mendesak agar penuntut UPSI, Adam Adli Abdul Halim, yang menurunkan bendera yang tertera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Ibu Pejabat Umno sewaktu demonstrasi 17 Dis lalu, tidak dikenakan tindakan tata tertib oleh pentadbiran universiti berkenaan.

No comments:

Post a Comment