KUALA LUMPUR (Malaysiaaktif) – Sekilas dilihat
seolah-olah seluruh rakyat Malaysia akan bangun membantah sekiranya
Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati bersalah oleh mahkamah pada 9 Januari
ini.
Bagaimana pun, perkara ini masih dianggap ‘moot’ atau belum pasti, dan
bergantung kepada pihak mana yang menyoroti keadaan – sama ada pihak
yang tidak menyukai beliau atau pihak beliau yang tidak menyukai pihak
yang satu lagi.
Dan seperti mana sejarah dilakarkan sebagai sahih oleh mereka yang menang, begitu juga keadaan ini sengaja didahulukan (pre-empt)
supaya situasi yang diinginkan sedia terbentuk sekiranya keputusan
mahkamah berhubung tuduhan liwat ke atas pembantu beliau, Mohd Saiful
Bukhari tidak memihak kepada Anwar.
Seperti mana konsistennya apa yang diperjuangkan pihak Pakatan Rakyat
menggarap premis bahawa Anwar tidak bersalah, seperti itu juga tempo dan
nada pihak sebelah lagi cuba menidakkannya.
Tetapi, apa sekali pun, apa yang dilakukan sesuatu yang sia-sia saja,
kerana segala-galanya bergantung kepada mahkamah, dan tiada pihak mana
pun dapat mempengaruhi keputusan yang bakal diumumkan nanti.
Juga, jika dilihat dalam dimensi dunia siber, kelantangan blogger
pro-Anwar dan Pakatan Rakyat cuba mempertahankan ketua umum PKR itu,
seolah-olah ramai sekali rakyat Malaysia yang berada di belakang mereka.
Hakikatnya, dalam alam maya seperti di Internet, saiz dan dimensi
adalah sesuatu yang subjektif dan bukan boleh diterima bulat-bulat
seperti yang digambarkan.
Bayangkan, sebuah entiti perniagaan kecil yang sekadar menggunakan sebuah laptop dan
berlokasi di penjuru sebuah bilik tidur pun boleh dibentuk persepsi
seolah-olah ia sebuah syarikat korporat gergasi dengan dibantu kaedah
media sosial, seperti Facebook dan sebagainya.
Maka disebabkan itulah dirasakan penggunaan rangkaian sosial begitu
penting sebagai sebahagian daripada senjata perang saraf parti-parti
politik atau bagi sesebuah kerajaan. Kaedah tersebut terbukti berkesan
apabila digunakan dengan efektif oleh Barack Obama ketika berjuang untuk
mendapatkan kerusinya di pejabat Oval, White House.
Berbalik kepada persepsi saiz dan dimensi yang terbentuk dalam alam
maya siber, ia digarap secukup-cukupnya oleh orang Anwar. Mereka
memelihara momentum persepsi ‘seluruh rakyat’ yang dibentuk kononnya
begitu meluas pengaruh dan sokongan hinggakan tanpa disedari pihak
berkuasa tidak boleh berjudi dengan kemungkinan dan turut bersedia
membentuk pertahanan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Yang jelas, saiz dan dimensi besar tenaga rakyat pro-Anwar yang di
war-warkan bukan sebesar mana pun. Ia sekadar berlegar di kalangan
kumpulan-kumpulan mereka sahaja. Mereka yang berada di tengah-tengah
keghairahan dan keterujaan sebegitu tentu sekali akan merasakan dunia
kecil itu sebagai pusat alam semesta yang mantap menyokong apa jua
mereka perjuangkan. Realitinya bukan begitu, malahan jauh sekali.
No comments:
Post a Comment